Jumat, 17 April 2020

Kisah Misteri - Apa Itu Saka

Wawan Setiawan Tirta
 

Mari Kenali Apa Itu Saka

Saka adalah sejenis ilmu hitam di mana seseorang itu akan membuat perjanjian dengan jin kafir atau syaitan untuk tujuan tertentu. Seterusnya jin yang mendampingi manusia itu akan diperturunkan dari generasi ke generasi. Amalan saka dipercayai sudah lama wujud di Malaysia dan walaupun perjanjian itu sudah berusia ratusan atau puluhan tahun, namun jin-jin yang mendampingi manusia itu dipercayai masih diperturunkan sehingga ke hari ini.
[Perjanjian Dengan Syaitan] Upacara memeterai perjanjian dengan jin adalah haram di sisi Islam kerana ada antara kaedahnya jelas bertentangan dengan hukum syariat. Antaranya, seseorang itu perlu melakukan perbuatan menghina Islam seperti memijak Al Quran atau membaca surah suci secara terbalik selain melakukan perkara mungkar seperti memuja kubur, tengkorak, minum darah dan sebagainya. Semua perbuatan itu dilakukan individu terbabit sambil membaca mantera atau jampi serapah untuk menyeru kehadiran jin.
Apabila jin berjaya diseru dan muncul, barulah seseorang itu akan mengadakan perjanjian untuk kepentingan dirinya dan perjanjian itu dimeterai dengan syarat dan pantang larang yang tertentu. Selepas termeterainya perjanjian tersebut, maka jin akan sentiasa mendampingi individu terbabit bagi menjalankan tugas yang dipertanggugjawabkan kepadanya dan individu itu juga perlu menunaikan syarat kepada jin terbabit seperti dipersyaratkan.
Namun, tujuan sebenar jin itu mendampingi manusia adalah untuk menyesatkan mereka daripada Allah SWT dengan terus menjerumuskan manusia itu ke dala perkara yang dilarang Islam termasuk menjadikan mereka syirik. Tujuan jin kafir atau syaitan itu jelas tertera dalam Al Quran pada ayat ke 39, Surah Al Hijr yang bermaksud.
“Iblis berkata, Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau memutuskan aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka (manusia) memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya.”
Walaubagaimanapun, masih terdapat individu tertentu yang tidak menghiraukan hukum Islam dengan terus memeterai perjanjian dengan saka untuk pelbagai tujuan. Antaranya, untuk menjaga harta dan keselamatan diri dan keturunan pemilik, membantu individu itu melakukan kerja-kerja berat di ladang atau lautan, menjadi kuat, dipandang mulia atau ditakuti orang lain dan sebagainya. Antara jenis-jenis saka adalah saka harimau (menjadikan pemiliknya digeruni manusia lain terutamanya pihak musuh), saka buaya dan saka ular (membolehkan pemiliknya mengawal dan menjinakkan haiwan terbabit), saka bomoh (membolehkan pemilik seolah-olah mampu mengubati sakit gangguan makhluk halus lain).
Selain itu, terdapat juga saka kuat atau saka penimbul (memberikan kekuatan menakjubkan atau kekebalan kepada pemiliknya, kebiasaannya saka ini terdiri daripada jin berjenis angin), saka susuk (mengubah pemiliknya agar sentiasa kelihatan cantik) dan toyol (jin saka ini akan membantu mencuri wang secara ghaib untuk pemiliknya).
Mendampingi saka dikatakan akan membawa pelbagai masalah dan kesan buruk kepada seseorang itu. Selain terjerumus dalam dosa besar terutamanya syirik, pemilik saka juga dikhuatiri akan mati dalam keadaan terseksa kerana roh mereka sukar untuk keluar daripada jasad.
Malah, terdapat juga beberapa dakwaan yang saka berkenaan akan ‘menumpang’ jasad pemiliknya yang sudah mati menyebabkan seseorang itu, kelihatan masih hidup walaupun hakikatnya dia sudah lama meninggal dunia. Jin saka terbabit juga boleh menganggu ahli keluarga termasuk, mencemari maruah ahli keluarga wanita dengan melakukan hubungan kelamin dengan mereka. Terdapat juga gangguan saka yang menyebabkan seseorang mengalami penyakit misteri yang gagal diubati oleh ilmu perubatan moden.
Antara syarat perjanjian bagi mendapatkan saka ialah jin perlu diperturunkan kepada orang lain sebagai warisan apabila pemilik lama hampir menemui ajal. Saka perlu dijamu dengan makanan seperti kemenyan, darah dan sebagainya. Islam menjelaskan bahawa adalah haram untuk menerima warisan saka seperti firman Allah SWT yang bermaksud.
“Dan hari kiamat Allah akan himpunkan mereka semua, lalu berfirman, wahai golongan jin (syaitan), sesungguhnya kamu banyak menyesatkan manusia, lalu berkatalah sahabat mereka dari golongan manusia, wahai Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian kami sudah mendapat kesenangan daripada sebahagian yang lain (jin) dan kami sampai kepada masa yang Engkau tentukan bagi kami (hari pengadilan)’
“Allah berfirman: ‘Neraka itulah tempat diam kamu sedang kamu kekal di dalamnya, kecuali kalau Allah mengkehendaki (yang lain). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.”
Surah Al An’aam ayat 128

Masalah saka berlaku apabila pemiliknya tidak sempat mewarisi jin berkenaan sebelum meninggal dunia. Keadaan itu menyebabkan jin saka tidak lagi memiliki tuan dan bebas merayau-rayau dan melakukan gangguan terhadap orang lain. Sekiranya saka sempat diwarisi orang lain pula, pemilik baru mungkin tidak mengetahui syarat dan pantang larang yang termeterai dalam perjanjian menyebabkan mereka mengabaikan syarat dan pantang larang itu. Keadaan itu menyebabkan jin berkenaan menjadi marah dan mula menyakiti pemiliknya serta orang lain. Gangguan akan turut berlaku sekiranya sesuatu barang pemilik saka diserahkan atau dijual kepada orang lain.
Terdapat juga kes jin saka yang diwarisi seseorang itu beranak pinak menyebabkan ia perlu diwariskan kepada orang lain kerana tidak mampu ‘dibela’ seorang pemilik sahaja. Selain kepada keturunannya, saka juga boleh diwarisi kepada orang lain malah pengkaji ilmu hitam itu boleh mendapati terdapat beberapa cara untuk mewarisi saka termasuklah tanpa disedari orang lain. Antaranya dengan cara bersalaman atau lafaz seperti “kamulah sahabat saya di dunia dan akhirat”
Kaedah laun mewariskan saka adalah dengan menyerah barang tertentu seperti batu, keris lama, cincin selain azimat termasuk yang bertulis ayat suci Al Quran. Malah, seseorang yang mendapatkan rawatan daripada bomoh yang menggunakan bantuan jin juga akan diwariskan saka tanpa sedar. Begitu juga dengan pesilat yang mempelajari ilmu persilatan songsang. Saka akan diwariskan kepada mereka bersama amalan bacaan atau pantang larang tertentu yang apabila dilanggar, akan menjadikan pesilat itu gila isim.
Terdapat juga individu yang tidak menyedari bahawa diri mereka sudah didampingi saka. Antara tanda-tanda seseorang itu didampingi makhluk halus itu adalah perubahan sikap kepada bengis, suka memberontak, emosi terganggu dan sebagainya, bergantung kepada jenis jin yang mendampingi mereka.
Mengikut pengamal perubatan Islam, saka adalah antara gangguan makhluk halus yang paling kerap dirujuk kepada mereka berbanding gangguan sihir dan santau. Bagaimanapun, berbanding dua gangguan lain itu, saka paling sukar diubati dan memakan masa yang panjang terutamanya kepada mereka yang terlalu lama berdampingan dengan jin terbabit.
Antara kaedah mengubati saka ialah menghilangkan segala kesyirikan dan kepercayaan bahawa saka itu penyakit keturunan. Sedangkan, tanpa diperturunkan pun dengan izin Allah SWT, saka boleh mengenai seseorang. Selain itu, sunnah membaca ayat-ayat Al Quran dan doa-doa Nabi Muhammad SAW yang tsabit kepada pesakit saka.
Artikel oleh: Sejagat Raya


Credit:Sumber